Surah Ad-Dhuha adalah surah yang rasa dekat dengan saya sejak saya mula berkecimpung dalam dunia bisnes shaklee ni, alhamdulillah antara amalan rohani yang kerap di tekan kan oleh team kami, amalkan solat sunat dhuha, di mana surah ad-dhuha di galakkan di baca selepas Al Fatihah.
Izin kan saya berkongsi artikel dari ikim.fm - Dahsyatnya Surah Ad Dhuha.
...
AL_QURAN sentiasa menjadi didikan yang terbaik buat diri kita. Akan sentiasa menjadi panduan dalam kita meniti kehidupan yang kadangkala mengecewakan.
Menerusi Segmen Ibrah yang keudara di IKIMfm minggu lalu pada hari Isnin, 5.15 petang, Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman berkongsi mengenai Surah Ad-Dhuha dan bagaimana surah ini menjadi motivasi buat Rasulullah SAW.
Perlu untuk kita ketahui keadaan Rasulullah SAW ketika surah ini diturunkan. Rasulullah SAW merindukan wahyu kerana wahyu telah lama tidak turun kepada Rasulullah SAW. Menyebabkan Rasulullah SAW lebih resah dan gelisah sehingga Rasulullah disindir oleh Ummu Jamil, isteri Abu Lahab “Sesungguhnya Syaitanmu wahai Muhammad telah meninggalkan kamu.”
Al-Quran diturunkan secara berperingkat-peringkat agar Rasulullah SAW dapat menikmati indahnya wahyu daripada Allah SWT dan membuatkan Baginda rindu akan wahyu. Perlu kita muhasabah kembali, adakah kita benar-benar rindu kepada Al-Quran sepertimana Rasulullah SAW rindu kepada wahyu dan ayat-ayat Allah SWT.
Cuba kita kembali merenung diri sendiri tatkala kita ditimpa musibah dan rasa tertekan dengan kehidupan. 3 persoalan yang kita perlu persoalkan ketika rasa kecewa. Yang pertamanya, adakah bila kita kecewa, kita kembali merenung alam sekeliling dan bertafakur serta melihat seketika apa yang berlaku kepada alam.
Keduanya kembali kita renungkan, apa tujuan dan destinasi kita yang sebenarnya. Adakah kita hidup untuk dunia semata-mata atau menuju alam lain dan yang terakhir adakah kita melihat sejarah di masa lampau dan mengambil pedoman daripada sejarah kita.
Tiga perkara ini antara intipati yng terkandung di dalam Surah Ad-Dhuha yang mana bercerita tentang alam, visi dan sejarah. Rasulullah SAW dimotivasikan oleh Allah SWT menerusi ayat 3 Surah Ad-Dhuha yang bermaksud : (Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik). Satu ayat ini menjadi tema yang paling penting kenapa Surah Ad-Dhuha ini turun.
Kemudian Allah SWT menghadirkan ayat-ayat lain di dalam surah ini untuk menjadi bukti bahawa Allah SWT tidak pernah meninggalkan Rasulullah SAW dan juga tidak pernah meninggalkan kita. Kadangkala setiap kali kita menadah tangan memohon kepada Allah SWT kita terasa seperti Allah SWT tidak pernah mendengar kita ekoran dosa-dosa yang kita lakukan. Saat kita bersangka bahawa Allah SWT meninggalkan kita, Surah Ad-Dhuha mengajar kita untuk bersangka baik kepada Allah SWT yang Allah SWT tidak pernah meninggalkan kita walau besar manapun dosa yang kita lakukan selagi kita rasa mahu kembali kepada Allah SWT.
Saat mana kita terasa ingin kembali kepada Allah SWT dan saat kita melafazkan ‘Istighfar’ kita, disitulah tanda Allah SWT tidak pernah meninggalkan kita dan hadir bersama rahmat-Nya agar kita tidak tenggelam dan terus-terusan bergelumang dengan dosa.
Bukti yang pertama Allah SWT tidak pernah meninggalkan Rasulullah SAW adalah menerusi alam yang disebutkan menerusi Surah Ad-Dhuha ini. Ayat 1 dan 2 yang bermaksud : Demi waktu dhuha,. Dan malam apabila ia sunyi-sepi –
Allah SWT menciptakan alam ini bukan sia-sia dan apabila kita merenung kejadian alam ini, ia seolah-olah berinteraksi dengan kita. Cuba kita faham bahasa alam kepada kita dengan merenung setiap kejadiannya lalu kita akan faham dua ayat pertama surah Ad-Dhuha. Allah SWT menyatakan wahai Muhammad SAW, keadaan alam sama dengan keadaan kamu, tiada bezanya. Sekiranya alam ada saat gelap gelita dan hening, begitu juga kamu. Percayalah segelap dan sepekat manapun malam itu, pasti akan muncul matahari dan wujud cahaya di siang hari esoknya. Ketika gelap datang, belajarlah untuk tenang kerana pasti sinar akan muncul. Begitulah Allah SWT mengajar kepada Rasulullah SAW akan perihal alam.
Yang kedua, menerusi Surah Ad-Dhuha, kita dapat belajar apa itu visi dan matlamat kita. Menerusi ayat 4 & 5 surah ini yang bermaksud : Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya. Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda – berpuas hati.
Ayat 4 & 5 surah ini mengajar kita tentang masa depan. Kenapa ramai di kalangan kita tertekan? Kerana kita tidak jelas akan matlamat dan tujuan hidup kita. Pertama, Allah SWT kata, akhirat perlu ada dalam fikiranmu wahai Muhammad SAW. Keduanya, sebagaimana di akhirat nanti Allah SWT menjanjikan yang terbaik, begitu jugalah di dunia. Allah SWT menjanjikan kejayaan dan kebahagiaan di dunia buat Rasulullah SAW. Kesimpulan ayat ini, kita akan sentiasa bermotivasi apabila kita mengetahui tujuan dan matlamat kehidupan kita.
Faktor ketiga di dalam surah ini adalah faktor sejarah. Allah SWT menunjukkan bukti ketiga kepada Rasulullah SAW. Allah SWT singkap kembali sejarah 40 tahun Rasulullah SAW dalam tempoh tiga ayat.
Tiga ayat merumuskan perjalanan 40 tahun Rasulullah SAW. Ayat 6-8 yang bermaksud : Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan? Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – Al-Quran)? Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?
Allah SWT mengingatkan kepada Rasulullah SAW saat di mana Baginda yatim dahulu. Allah SWT tidak pernah melupakan Baginda begitu jugalah saat kesusahan yang melanda, Allah SWT tidak pernah meninggalkan Baginda Rasulullah SAW. Allah SWT menyampaikan kepada Rasulullah SAW, berdasarkan sejarah masa silam, Kami melihara kamu, takkan Kami terfikir untuk meninggalkan kamu pada ketika ini.
Demikianlah Allah SWT mengajar kita untuk merenung kembali sejarah hidup kita yang terdahulu agar kita lebih mensyukuri apa juga nikmat yang telah Allah SWT kurniakan. Ada kejadian-kejadian lampau yang sengaja Allah SWT hadirkan untuk kita kembali merenung di masa hadapan lalu bersyukur kepada Allah SWT atas segala apa yang terjadi.
Semoga ayat-ayat Allah SWT sentiasa menjadi motivasi untuk kita mendepani dunia yang kian mencabar.
.
Nak PRODUK Shaklee atau nak mulakan BISNES ONLINE Shaklee? Jom saya bantu 😃
Wasap.my/60136216522/NakShaklee
#RakanShaklee Anda,
Anisah Khalid
#NextLevelBlogging #Shakleetriumph2023 #shakleethrive2023 #SetRahmahShaklee2023
Tiada ulasan:
Catat Ulasan