Jumaat, 22 Ogos 2014

Hukum Bertafakur dan Berkabung ... MH17 dalam kenangan.

Assakamualaikum wbt dan Salam Sejahtera, 




MALAYSIA BERKABUNG pada  hari ini, 22 OGOS 2014 sempena berangkat pulang jenazah sebahagian dari mangsa MH17. 

Kerajaan menyarankan kita untuk berkabung dan bertafakur... 
Pagi ini,  saya ada menerima message di WA dan juga fb mengatakan berkabung ini bukan sunnah dan tidak boleh dilakukan. Berkabung bukan lah perkara biasa2, ia berlaku jarang2.. jadi kini sendiri pun tak pasti apakah hukumnya..kan? 
Allahuakbar, Sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Menjawab...
Di kala hati sedang ragu2, ikim.fm ada kongsikan hukum bertafakur dan berkabung seperti yang saya petik di bawah. 
                                                                                                                                                                
KUALA LUMPUR 22 OGOS – Persoalan berhubung apakah hukum tafakkur dan berkabung banyak diperkatakan. Berdasarkan fanpage Fatwa Malaysia jelas sekali bahawa  tafakkur adalah diharuskan apatah lagi apabila diisi waktu tersebut dengan membaca al-Fatihah untuk dihadiahkan kepada saudara kita yang terkorban. 


Manakala hukum berkabung dengan berpakaian hitam juga tidak menyalahi ajaran Islam apabila ulama Syria yang terkenal Sheikh Dr. Wahbah al-Zuhayli menyebut bahawa dalam konteks wanita yang kematian suami diharuskan untuk memakai pakaian hitam, maka jika digunakan Qiyas kepada apa jua keadaan bersedih dan berdukacita, ianya juga diharuskan.
Di bawah ini adalah penjelasan dari laman fanpage Fatwa Malaysia kendalian Felo Fatwa Malaysia (JAKIM):
Soalan: Saya ingin bertanya tentang isu tafakkur dan berkabung. Adakah dalam Islam ada amalan tafakkur sebagai tanda kedukaan atas kematian sepertimana dalam ke MH17. Begitu juga tentang amalan berkabung. Dalam Islam apa yang sepatutnya dilakukan. Mohon penjelasan. Terima kasih.
PENJELASAN: Faham bertafakkur dalam Islam tidaklah sama dengan apa yang dilakukan sekarang ini yang dipanggil ‘moment of silence’ (tunduk selama beberapa minit) bagi menghormati orang yang mati. Tafakkur membawa makna “kegiatan hati untuk memahami makna setiap perkara bagi mencapai apa yang dihajati. Tafakkur juga merupakan pancaran hati yang dengannya kebaikan, keburukan, manfaat dan kemudaratan akan menjadi jelas (al-Jurjani, Kitab al-Ta’rifat, ms.77)
Namun perbuatan tunduk selama beberapa minit (moment of silence) bagi menghormati orang yang matitidaklah bertentangan dengan syarak kerana ia sekadar tanda penghormatan yang bersifat universal dan tidak melibatkan apa-apa ritual bacaan dan pergerakan yang menyerupai amalan keagamaan agama lain. Penekanan dalam perbuatan ‘moment of silence’ lebih kepada bagi menunjukkan kesedihan, ingatan dan penghormatan kepada mereka yang telah meninggal dunia. Namun sekiranya perbuatan tersebut disertai dengan ritual keagamaan agama lain seperti menyalakan lilin atau bacaan-bacaan tertentu maka ia menjadi tidak selari dengan amalan Islam dan dilarang oleh syarak. Asas terhadap keharusan tersebut boleh diambil dari perbuatan Rasulullah yang bangun menghormati jenazah seorang Yahudi yang lalu di hadapan baginda atas dasar kemanusiaan. Begitu juga dengan kisah seorang Sahabat Nabi bernama Qays Ibn Syamas yang pernah menyatakan hasratnya kepada Rasulullah untuk menghadiri majlis kematian ibunya yang beragama Nasrani, Nabi membenarkan dan menyuruhnya berjalan di hadapan jenazah sebagai tanda hormat. (Ibn Qayyim al-JawziyyahAhkam ahl Zimmah, vol.2 ms. 434).
Walaupun apa yang dilakukan oleh Nabi dan Qays, tidaklah benar-benar sama dengan perbuatan ‘moment of silence’, namun kedua-dua perbuatan tersebut memberi isyarat bahawa tidak salah untuk menghormati orang yang meninggal melalui perbuatan yang tidak bertentangan dengan syariah, termasuk bukan Islam. Islam sendiri menggalakkan kita mengambil iktibar dari kematian. Namun yang terbaik untuk dilakukan bagi menghormati orang Islam yang meninggal dunia ialah dengan mendoakan mereka dan membaca ayat-ayat suci al-Qur’an. Sementara perbuatan berkabung bagi menunjukkan tanda dukacita kepada orang yang meninggal dunia seperti mengibarkan bendera separuh tiang dan memakai pakaian berwarna serba hitam atau suram adalah dibenarkan selagi ia tidak melibatkan unsur-unsur atau ritual keagamaan agama bukan Islam yang bertentangan dengan syarak.
Dalam perbahasan para ulama amalan berkabung banyak merujuk secara khusus kepada apa yang dilakukan oleh seorang wanita yang kehilangan suami. Istilah yang digunakan ialah al-ihdad/al-hadad yang bermaksud menahan diri daripada berhias. Menurut istilah pula, perkabungan memberi erti meninggalkan perbuatan memakai haruman, perhiasan, celak, minyak, sama ada yang harum ataupun tidak, iaitu yang khusus bagi tubuh. Namun ia boleh dikiaskan kepada konteks yang lebih besar termasuk dalam konteks masyarakat dan Negara seperti dalam kes MH17. Maka keputusan untuk menetapkan beberapa hari untuk tujuan berkabung adalah termasuk dalam perkara yang harus. Malah dalam hal memakai pakaian berwarna hitam, terdapat perbahasan yang mengatakan bahawa Keempat-empat mazhab mengharuskan (iaitu dalam konteks wanita kematian suami) untuk memakai pakaian berwarna hitam. (Wahbah al-Zuhayli,Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jild 7. 662)
                                                                                                                                                                



Setiap yang hidup pasti mati, kecuali Allah swt. 
Al fatihah
Moga kita semua sentiasa diberkati Allah swt di dunia & akhirat.
Ilmu wajar di kongsi, bukan hanya untuk diri sendiri. 
*Sila kongsikan dengan menekan button like dan share di bawah. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Surirumah & Media : Bersama Membangun Potensi Suri Rumah Rahmah

 𝗦𝘂𝗿𝗶𝗿𝘂𝗺𝗮𝗵 𝗱𝗮𝗻 𝗠𝗲𝗱𝗶𝗮  Alhamdulillah, di izinkan Allah untuk hadir 2 hari 𝑩𝒆𝒏𝒈𝒌𝒆𝒍 𝑷𝒆𝒏𝒈𝒖𝒓𝒖𝒔𝒂𝒏 𝑴𝒆𝒅𝒊𝒂 𝑺...