Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Hari ini ada rakan kongsikan kisah saidatina Khadijah yang wajar sangat kita semua ambil tahu.
Menurut Ibnu Athir dan Ibnu Hisyam, Siti Khadijah radhiallahu anha(r.a) adalah seorang saudagar yang sangat masyhur serta terkenal dengan sifat kemuliaan budi dan kekayaan hartanya. Sebilangan besar masyarakat Arab pada ketika itu meminjam sebahagian hartanya itu sebagai modal bagi perniagaan mereka.
Apabila Siti Khadijah mendengar mengenai perihal peribadi Muhammad bin Abdullah yang sangat mulia dan memiliki akhlak yang terpuji, ia terus mempelawa kepada Nabi Muhammad Saw, supaya menjalankan usaha perniagaan dengan hartanya dan sanggup memberikan keuntungan yang lebih dari yang pernah diberikan kepada orang lain. Urusan perniagaan Nabi Muhammad saw itu diiringi oleh seorang budak suruhan Siti Khadijah yang bernama Maisarah, sebagai pembantunya. Tawaran itu diterima baik oleh Nabi saw dengan penuh kerelaan hati.
Baginda berangkat ke negeri Syam untuk menjalankan perniagaan, dan dalam perniagaan tersebut, baginda memperoleh hasil keuntungan yang besar dan berlipat kali ganda. Apabila pulang dan bertemu dengan Siti Khadijah, Nabi saw terus menyerahkan kepada Siti Khadijah apa yang perlu dan apa yang patut diserahkan dengan penuh amanah.
Semasa di Syam lagi, pembantu urusan perniagaan nabi saw telah melihat dengan matanya sendiri perilaku dan akhlak nabi saw dan menceritakannya kepada Siti Khadijah. Siti Khadijah sungguh tertawan dengan sifat amanah yang ada pada nabi saw dan budi pekertinya yang tinggi dan yang lebih menghairankan lagi ialah keuntungan yang sangat besar yang diperolehinya dengan berkat nabi saw.
Dengan perantaraan Nafisah binti Munabbah, Siti Khadijah telah menawarkan dirinya kepada nabi saw untuk menjadi teman hidupnya yang halal. Tawarannya tadi telah disambut baik oleh nabi saw dan dengan tidak membuang masa, nabi saw terus menyatakan hasrat hatinya yang mulia itu kepada bapa-bapa saudaranya. Rombongan peminangan terdiri daripada Hamzah, ditemani oleh Abu Talib dan beberapa yang lain dan mereka pun melamar Siti Khadijah melalui bapa saudaranya, ‘Amru bin Asad. Perkahwinan pun berlangsung dengan selamatnya. Di kala itu, nabi saw berusia genap 25 tahun sedangkan Siti Khadijah telah berusia 40 tahun.
Abu Talib dalam peristiwa perkahwinan nabi saw sempat berkhutbah dengan berkata,
"Sesungguhnya Muhammad tiada bandingan di kalangan pemuda Quraisy, melainkan dialah yang paling cemerlang, dari segi keistimewaannya dan kelebihan keturunan, kelebihan akhlak dan kelebihan akalnya, sekalipun dari segi hartanya yang sedikit sahaja, tetapi harta itu ibarat bayangan yang hilang dan pinjaman yang dipulangkan. Ia mahu beristerikan Khadijah dan Khadijah juga mahu kepadanya,".
Lalu wali Khadijah menyahut,
"Dialah anak lelaki yang tidak "disorong-sorongkan" hidungnya dan aku kahwinkan dia dengannya.''
Inilah perkahwinan yang pertama kepada nabi yang penuh dengan keberkatan dan rumahtangga keduanya berpanjangan sehingga wafatnya Khadijah r.a. Hasil perkongisan hidup ini, lahirlah semua putera dan puteri Nabi saw kecuali Ibrahim.
Petikan daripada :Buku Fiqh Al-Sirah 1, Oleh Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti,m/s: 71-72
dan buku Fiqh Al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah siri 1 oleh Haji Abdul Hadi Awang m/s: 57-58
Tak sangka berkongsi kisah Siti Khadijah di sini di awal pregnant kn Amni Khadijah
BalasPadam