Khamis, 18 Disember 2014

25% wanita mengidap GBS, adakah anda juga?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, 
Hari ni saya ingin berkongsi mengenai pembacaan saya di babycenter mengenai GBS...
GBS yang glamour sekarang ni ialah Geng Bas Sekolah... Ops, tapi GBS yang saya nak kongsikan adalah GBS yang boleh membawa maut... Ouch! Apakah? 
Saya sendiri, alhamdulillah diberi kesempatan hamil 2 kali dan di lahirkan dalam keluarga besar, iaitu 11 orang adik beradik... namun, kini baru saya tahu apa kebenda GBS ni setelah ada rakan saya mengadu 'penyakit' ni. 

Dan lebih menakutkan GBS ni boleh menjadi punca KEMATIAN bayi yang baru lahir jika bayi tersebut terkena jangkitan dari ibu...huhu. penat hamil 9 bulan belum hilang, tiba bayi pula TIADA.. Nauzubillah, moga rakan2 saya terlindung dari penyakit ini. dan jika ada, jom ketahui lebih lanjut dan cuba elakkan dari perkara yang lebih buruk. 
Ok, jemput baca untuk tambahan ilmu yang rakan-rakan semua.. 
Apa itu Streptokokus Kumpulan B?


Streptokokus Kumpulan B, atau GBS, juga dikenali sebagai strep kumpulan B, adalah salah satu daripada pelbagai jenis bakteria yang biasanya hidup di dalam badan manusia. Kira-kira satu per tiga daripada kita "membawa" GBS di dalam usus tanpa kita sedari. 


Kira-kira ¼ daripada wanita mempunyai GBS di dalam faraj mereka. Kebanyakan wanita tidak mengetahui bahawa mereka dijangkiti GBS kerana biasanya ia tidak mendatangkan masalah atau menunjukkan simptom-simptom tertentu.

Walau bagaimanapun, dalam kes-kes yang jarang berlaku, GBS boleh menyebabkan penyakit yang serius dan boleh menyebabkan kematian kepada bayi yang baru lahir. Walaupun kes-kes ini luar biasa, GBS merupakan punca jangkitan yang teruk kepada bayi yang baru dilahirkan, terutamanya pada minggu pertama selepas kelahiran (dikenali sebagai jangkitan permulaan awal).


Bagaimana untuk mengetahui yang saya membawa GBS?



Jika anda membawa GBS, anda tidak semestinya akan tahu kerana biasanya tiada kesan-kesan buruk. Terdapat sejenis ujian GBS, tetapi ia tidak dilakukan secara rutin semasa hamil.


Wanita hamil sering mendapati mereka menghidap GBS secara kebetulan, apabila mereka menjalani ujian calitan faraj (vaginal swab) untuk memeriksa sesuatu yang lain. Jangkitan GBS ini juga boleh datang dan pergi, walaupun anda didapati positif terhadap jangkitan GBS pada awal kehamilan, tetapi anda mungkin tidak mempunyai GBS apabila tiba masa untuk bersalin. 

Jadi, adalah penting bagi wanita hamil dan penjaganya untuk mengetahui bilakah bayi mereka cenderung untuk dijangkiti GBS dan tanda-tanda jangkitan GBS terhadap bayi mereka.

Saya sedang hamil. Apakah yang perlu saya tahu tentang GBS?


Kebanyakan bayi terdedah kepada GBS sebelum atau semasa kelahiran tanpa sebarang kesan buruk. Namun, tidak jelas mengapa sesetengah bayi boleh terkena jangkitan sementara yang lain tidak. Apa yang pasti, kebanyakan jangkitan GBS terhadap bayi yang baru dilahirkan boleh dicegah.


Wanita yang berada di dalam situasi berisiko tinggi boleh diberikan antibiotik intravena sama ada ketika hendak bersalin ataupun apabila air ketuban mula pecah (yang mana berlaku dahulu) sehingga bayi dilahirkan.

Pembedahan caesarean tidak digalakkan untuk mencegah jangkitan GBS kepada bayi kerana ia tidak menghapuskan risiko GBS terhadap bayi.

Sangat jarang GBS menyebabkan jangkitan kepada uterus atau saluran kencing pada ibu-ibu yang baru hamil.

Adakah bayi saya berisiko mendapat jangkitan GBS?


Beberapa faktor boleh membantu anda untuk mengesan samada bayi anda cenderung untuk mendapat jangkitan GBS.


Ini termasuklah, jika :

  • anda menunjukkan tanda untuk bersalin awal (sebelum minggu ke-37 kehamilan);
  • air ketuban pecah 18 jam atau lebih sebelum bayi dilahirkan;
  • suhu badan anda naik (38 ͦC / 100 ͦF atau pun lebih) ketika proses kelahiran;
  • sebelum ini anda mempunyai bayi yang dijangkiti GBS;
  • anda didapati membawa GBS di faraj anda dan/atau dubur semasa anda hamil;
  • GBS dikesan pada air kencing ketika hamil (ia haruslah dirawat apabila didiagnos, namun walaupun anda telah dirawat, perhatian yang lebih masih perlu diberi semasa proses kelahiran – lihat Bagaimana menguruskan proses kelahiran dan selepas bersalin?, di bawah).

Bagaimana menguruskan proses kelahiran dan selepas bersalin?


Jika anda tidak tergolong di dalam kumpulan berisiko tinggi, bayi anda tidak mudah untuk dijangkiti GBS.


Jika anda berisiko tinggi, kajian menunjukkan dengan pengambilan antibiotik intravena bermula daripada tempoh hendak bersalin atau apabila air ketuban anda pecah sehinggalah bayi anda dilahirkan boleh mencegah jangkitan GBS kepada bayi yang baru dilahirkan.

Sebaik-baiknya, anda harus mengambil antibiotik intravena sekurang-kurangnya 2 jam sebelum bayi anda dilahirkan dan setiap 4 jam semasa tempoh hendak bersalin. Terdapat beberapa risiko terhadap diri anda dan bayi dengan pengambilan antibiotik ini, maka berbincanglah dengan doktor tentang kes anda itu bagi memastikan bahawa rawatan adalah pilihan terbaik untuk anda.

Jika anda mempunyai dua atau lebih faktor-faktor berisiko seperti di atas, maka doktor anda akan mencadangkan rawatan semasa bersalin untuk mengurangkan risiko kepada bayi yang sedang dijangkiti.

Jika anda bercadang melakukan caesarean, antibiotik intravena tidak diperlukan melainkan jika air ketuban anda telahpun pecah atau sekiranya proses bersalin sudah bermula.

Jika bayi anda berisiko tinggi mendapat jangkitan GBS, sebaik sahaja bayi dilahirkan:

  • dia haruslah diperiksa serta-merta oleh pakar pediatrik;
  • jika anda berdua benar-benar sihat, dan anda mendapat rawatan penuh dengan mengambil antibiotik intravena semasa proses kelahiran, bayi anda mungkin akan diberikan antibiotik intravena;
  • jika anda berdua sihat, tetapi anda tidak menerima rawatan penuh dengan mengambil antibiotik intravena semasa proses kelahiran, bayi anda akan diberikan antibiotik intravena sehingga dia benar-benar sihat;
  • jika anda atau bayi anda menunjukkan tanda-tanda jangkitan GBS, antibiotik intravena harus diberikan kepadanya dengan segera.



Doktor masih lagi melakukan kajian tentang cara terbaik untuk merawat bayi yang baru dilahirkan yang berisiko terhadap jangkitan GBS, oleh itu terdapat beberapa kes di mana bayi anda mungkin perlu atau mungkin tidak perlu diberikan antibiotik. 

Apakah risiko-risiko rawatan?


Kebanyakan wanita dan bayi boleh diberikan penisilin sebagai rawatan antibiotik untuk GBS tanpa sebarang kesan buruk. Walau bagaimanapun, sebilangan kecil orang alah kepada penisilin dan boleh menyebabkan reaksi alahan yang teruk (anafilaksis), yang boleh membawa maut.


Wanita yang alah kepada penisilin boleh juga diberikan antibiotik yang lain.

Lain-lain kesan sampingan yang kurang teruk daripada rawatan antibiotik termasuklah cirit-birit dan loya. Walau bagaimanapun terdapat kebimbangan yang antibiotik boleh memberi kesan kepada keseimbangan bakteria flora di dalam usus bayi.

Kesan-kesan buruk ini membuatkan sesetengah doktor lebih berhati-hati tentang penggunaan antibiotik jika tiada keperluan untuk menggunakannya, terutamanya terhadap bayi yang baru dilahirkan. Sesetengah doktor lebih gemar untuk "melihat dan menunggu" dalam tempoh 12 jam selepas bayi dilahirkan sebelum memberikan antibiotik yang mungkin tidak diperlukan.

Apakah tanda-tanda jangkitan GBS terhadap bayi anda?


Jangkitan GBS pada bayi selalunya berlaku pada peringkat awal (dalam masa tujuh hari selepas dilahirkan), dengan 90 peratus berlaku dalam masa 12 jam selepas kelahiran.


Dalam kebanyakan kes, gejala jangkitan GBS pada bayi boleh diketahui semasa atau sebaik sahaja kelahirannya.

Tanda-tanda biasa jangkitan awal GBS termasuklah:

  • mendengus
  • kurang menyusu
  • kelesuan
  • cepat meragam
  • tekanan darah rendah
  • suhu badan tinggi atau rendah, kadar degupan jantung dan /atau kadar pernafasan yang luar biasa.



Dalam kes yang lebih lebih luar biasa, jangkitan GBS juga boleh berlaku apabila bayi berusia tujuh hari atau lebih ("permulaan akhir" GBS), biasanya sebagai meningitis dengan septisemia.

Diagnos dan rawatan awal adalah penting bagi jangkitan permulaan akhir GBS atau meningitis. Jika bayi anda menunjukkan tanda-tanda seperti di atas, hubungilah pakar pediatrik dengan segera. Jika tiada pakar pediatrik, teruslah ke unit kecemasan dan kemalangan yang berdekatan. 

Semakin meningkat umur bayi semakin kurang risiko untuk dijangkiti GBS. Jangkitan GBS terhadap bayi jarang berlaku selepas berumur sebulan dan hampir-hampir tidak diketahui selepas tiga bulan. 

Kebanyakan bayi dapat terus hidup dengan rawatan, tetapi meningitis boleh menyebabkan masalah yang berpanjangan kepada bayi. Baca lebih lanjut tentang simptom-simptom meningitis.


Saya membawa GBS. Apakah yang perlu saya lakukan?


Jika anda dijangkiti GBS dalam kehamilan sebelum ini, atau anda didapati menghidap GBS ketika hamil sekarang ini, berbincanglah dengan pakar obstetrik anda dan bersetujulah dengan pelan kehamilan dan pelan kelahiran yang akan melindungi bayi anda daripada terkena sebarang jangkitan.


Dalam kebanyakan kes sebegini, kehamilan anda boleh diuruskan supaya bayi anda dilindungi dan dilahirkan dengan sihat dan bebas daripada GBS.

Bayi anda tidak akan terdedah kepada jangkitan GBS melalui penyusuan badan, maka anda tidak perlu menukar rancangan jika anda bercadang untuk menyusukan sendiri bayi anda. 


Beberapa rajah tambahan mengenai GBS



http://esciencecentral.org/ebooks/infectious-comorbidities/group-b-streptococcal-infections.php

http://babyworld.co.uk/2011/02/group-b-strep-prevention/
Semoga info yang saya kongsikan ini bermanfaat buat ibu-ibu di luar sana...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Surirumah & Media : Bersama Membangun Potensi Suri Rumah Rahmah

 𝗦𝘂𝗿𝗶𝗿𝘂𝗺𝗮𝗵 𝗱𝗮𝗻 𝗠𝗲𝗱𝗶𝗮  Alhamdulillah, di izinkan Allah untuk hadir 2 hari 𝑩𝒆𝒏𝒈𝒌𝒆𝒍 𝑷𝒆𝒏𝒈𝒖𝒓𝒖𝒔𝒂𝒏 𝑴𝒆𝒅𝒊𝒂 𝑺...